Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas tindakan segelintir penyokong Harimau Malaya yang masih mempersoalkan persembahan pasukan negara ketika perlawanan bertemu Kyrgyzstan pada Khamis lalu.

Sebaliknya, baginda yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menasihatkan mereka supaya tidak menjatuhkan semangat pemain yang sudah memberikan segala-galanya untuk membantu pasukan negara.

“Sudah menang syukur sahajalah. Lagi nak bising-bising menuding jari sini sana menjatuhkan semangat pemain negara sendiri. Semua pemain sudah beri segalanya, result (keputusan) pun alhamdulillah.

“Awak nak jadi coach (jurulatih) ini kerja dalam industri bola sepak ke? Ada menang apa-apa ke? Support (sokong) sahaja pasukan kebangsaan dan diam lebih baik,” tulis Tunku Ismail yang membalas komen di laman Instagram ekorharimaumalaya.

Ketika ini masih terdapat segelintir kalangan penyokong  yang mengkritik serta membuat perbandingan persembahan beberapa pemain Harimau Malaya ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menerusi hantaran di laman Instagram ekorharimaumalaya.

Khamis lalu, pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Harimau Malaya mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas bangkit daripada ketinggalan 3-1 untuk menewaskan Kyrgyzstan 4-3 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon menghuni tangga kedua Kumpulan D yang berkongsi tiga mata bersama pendahulu, Oman yang menewaskan Taiwan 3-0.

Perlawanan seterusnya pada Selasa ini akan menyaksikan Harimau Malaya berdepan pasukan ranking ke-152 dunia, Taiwan di Stadium Municipal, Taipei. – MalaysiaGazette