Penyerahan bot disempurnakan oleh Pengarah Pertahanan Awam Negeri Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab kepada Komander Pasukan, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan (dua kiri) di perkarangan Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kota Bharu.

KOTA BHARU – Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Ketereh telah  menerima bot penyelamat bagi persediaan menghadapi musim banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL).

Komander Pasukan, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, pihaknya menerima bot aluminum bersaiz 12 kaki disertakan dengan enjin Yamaha 15 kuasa kuda, sebuah treler penunda bot dan lapan unit jaket keselamatan.

“Spesifikasi bot serta peralatan menyelamat itu amat sesuai bagi kegunaan pasukan CDERT APM Ketereh memandangkan kawasan daerah Ketereh di Melor, Peringat, Kadok dan Kok Lanas sering ditenggelami air berdekatan kawasan perumahan dan pasukan penyelamat memerlukan bot menyelamat yang ringan dan bersaiz kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Ketereh, Kelantan menerima bot penyelamat bagi persedian banjir.

Terdahulu, penyerahan bot itu disempurnakan oleh Pengarah Pertahanan Awam Negeri Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab di perkarangan Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kota Bharu.

Turut hadir adalah Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Bharu, Kapten (PA) Muhammad Shafie Rosslee, serta Pegawai-pegawai dan Anggota APM dari pelbagai Daerah di Kelantan.

Pasukan CDERT APM Ketereh merupakan satu-satunya pasukan Pertahanan Awam Komuniti yang mempunyai anggota penyelamat terlatih dan mempunyai kelengkapan yang mencukupi termasuk bot serta pasukan perubatan kecemasan.

Pasukan yang ditubuhkan pada tahun 2015 itu mendapat pengiktirafan Bintang Perak Pasukan CDERT Komuniti terbaik Malaysia pada tahun 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast