KUALA LUMPUR – Peluang Khairy Jamaluddin untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah tertutup, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu itu mengakui Khairy masih belum sudi untuk bersama-sama parti itu selepas mengadakan pertemuan sebelum ini.
“Saya tidak mahu macam dulu lagi, berjumpa dan berbincang.
“Pada peringkat awal, macam adalah, tapi saya tak fikir kita akan terus menerus buat begitu,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG terbitan MalaysiaGazette malam tadi.
Muhyiddin berkata, Khairy boleh membuat penilaian terhadap apa juga keputusan yang akan dibuat.
“Dia boleh fikir kerana bijaksana. Dia mungkin lebih selesa bersama program podcastnya Keluar Sekejap, itu terserah,” jelasnya.
Bagaimanapun kata Muhyiddin, Bersatu tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pihak yang mahu menyertai parti tersebut.
Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional pernah membuat tawaran kepada Khairy untuk menjadi Ahli Pimpinan Tinggi Bersatu sebelum Pilihan Raya Umum Kali Ke-15.
Muhyiddin juga menafikan mempunyai niat sebagai umpan kerana ketika itu Bersatu sememangnya mempunyai dua kekosongan jawatan berkenaan.
Keputusan itu juga dipersetujui pimpinan parti yang lain. -MalaysiaGazette