Dr. Zaliha Mustafa.-Foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai Generasi Penamat (GEG) akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM optimis RUU berkenaan akan dapat dibentangkan sebelum Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 berakhir 30 November ini.

“Mengenai GEG memang kita akan bentangkan sebelum berakhir sesi Parlimen kali ini, insya-Allah,” katanya pada penghujung sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) bagi Kementerian Kesihatan, di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU GEG sepatutnya dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada hari kedua mesyuarat ketiga persidangan Parlimen yang sedang berlangsung, namun ditangguhkan kepada suatu tempoh yang tidak dimaklumkan.

KKM sebelum ini dilapor menangguhkan pembentangan RUU berkenaan bagi memberi laluan kepada aturan urusan kerajaan lain sebagaimana disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM).

GEG dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 12 Jun lalu dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.

Dalam satu majlis di Pulau Pinang semalam, beliau menyatakan komitmen setelah beberapa Ahli Parlimen membangkitkan desakan supaya RUU berkaitan GEG itu disegerakan sebelum mesyuarat berakhir 30 November ini.

Sejumlah enan Ahli Parlimen membangkitkan perkara itu antaranya P Prabakaran (PH-Batu), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor), Ahmad Fadhli Shari (PN-Pasir Mas), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang), Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) . – MalaysiaGazette