Model baharu Toyota Vellfire

KUALA LUMPUR – Kumpulan UMW terus mengekalkan momentum jualan kukuh pada Oktober 2023 dengan pendaftaran sebanyak 44,767 kenderaan kerana kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutunya, Perodua terus menyaksikan peningkatan tempahan.

Sepanjang bulan Oktober 2023, kumpulan automotif itu merekodkan peningkatan jualan sebanyak 17 peratus kepada 354,505 unit berbanding 302,356 unit yang didaftarkan pada tempoh yang sama tahun 2022.

Dalam kenyataannya, Kumpulan UMW berkata, UMWT merekodkan sebanyak 10,931 unit kenderaan pada Oktober 2023, jualan bulanan tertingginya dalam tempoh lima tahun lepas.

Ia juga 18% lebih tinggi daripada 9,281 unit yang didaftarkan pada Oktober 2022.

Setakat Oktober 2023, UMWT mencatatkan 87,442 unit, mencatatkan pertumbuhan 9% berbanding 80,153 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama 2022.

UMWT melancarkan Toyota Vellfire dan Toyota Alphard serba baharu pada 23 Oktober 2023, masing-masing berharga daripada RM438,000 dan RM538,000 dalam menambah model terbaharunya.

Model-model ini telah menetapkan penanda aras baharu untuk ciri termaju, menawarkan penyelesaian pengangkutan yang cekap dan mewah untuk individu yang menghargai kecanggihan, reka bentuk yang diperhalusi dan teknologi canggih.

Perodua pula mencatatkan 33,836 unit pada Oktober 2023, jualan bulanan tertingginya kerana ia terus meningkatkan pengeluaran disokong oleh rantaian bekalan yang bertambah baik.

Prestasi ini juga 31% lebih tinggi berbanding dengan 25,849 unit yang dihantar pada Oktober 2022.

Setakat Oktober 2023, jualan Perodua melonjak kepada 267,063 unit, 20% lebih tinggi daripada 222,203 unit yang dihantar dalam tempoh yang sama 2022.

Untuk 10 bulan pertama 2023, model terlaris Perodua ialah Bezza, diikuti oleh Axia dan Myvi. – MalaysiaGazette