Altamis Faiz Shahrullizam, 9, berkongsi kegembiran bersama ibu Fazreen Ismail, 39, dan bapanya Ezrin Baharuddin, 49, selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Pingat Hang Tuah pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023 di sebuah hotel hari ini.

JOHOR BAHRU – Kepantasan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun mengejutkan kesemua ahli keluarganya berjaya menyelamatkan mereka dalam insiden kebakaran rumah di Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh, Selangor pada 4 September lepas.

Susulan keberanian itu, Altamis Faiz Shahrullizam yang merupakan anak kedua daripada lima beradik, dianugerahkan Anugerah Pingat Hang Tuah bersempena dengan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan Tahun 2023 hari ini.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Desa Aman, Sungai Buloh itu berkata, kejadian yang berlaku kira-kira 4 pagi ketika dia sedang tidur bersama adik lelakinya Aryan Adwa, 3, manakala ibu bapa serta tiga adik-beradiknya pula tidur di bilik berasingan itu, masih segar dalam ingatannya.

“Ketika saya tidur dengan adik, tiba-tiba saya terbau asap dan terus kejut ayah dan ibu serta adik-beradik lain untuk selamatkan diri.

“Saya masih terbayang (kejadian itu), kalau ingat semula memang takut tetapi saya beranikan diri,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, di sini, hari ini.

Altamis Faiz berkata, keberanian yang dimilikinya itu dipengaruhi daripada seni bela diri silat yang dipelajari sejak berusia enam tahun, selain menyaksikan tindakan penyelamatan bomba dalam siri animasi tempatan Upin dan Ipin.

Ibunya, Fazreen Ismail, 39, berkata, dia berbangga dengan keberanian anaknya itu yang bukan sahaja mengejutkan mereka, tetapi turut bertindak pantas mengambil kunci rumah.

“Selepas kami berjaya keluar dari rumah, Altamis Faiz turut mengejutkan jiran-jiran sebelah rumah, manakala suami dan anak sulung cuba padamkan api,” kata kakitangan kerajaan itu.

Meskipun rumahnya terbakar sebanyak 70 peratus dalam kebakaran itu, dia bersyukur kerana kesemua ahli keluarganya terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Altamis Faiz menerima anugerah berkenaan dengan membawa pulang wang berjumlah RM5,000 yang disampaikan oleh Nancy.

Sementara itu, Anugerah Gemilang Kebudayaan dan Kesenian pula diberikan kepada Ahmad Mikhail Damsal Abdul Hakim, 14, Anugerah Gemilang Sukan disampaikan kepada Emelda Camalia Abd Razak, 13, dan Nurr Arissa Irdiani Azizi, 13 menerima Anugerah Gemilang OKU.

Hampir 400 kanak-kanak dari seluruh negara meraikan sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 itu yang bertemakan “Hak Kami Masa Depan Kami”. – Bernama