Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR- Dua beranak serta seorang wanita warga Indonesia yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam urusan jual beli dan melarikan di sebuah kedai barangan bayi di Jalan Ampang, pada Jumaat disambung reman bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebelum ini, ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 49 tahun itu direman selama tiga hari yang mana ia tamat pada hari ini.

“Pagi tadi mereka dihadapkan ke mahkamah dan telah disambung reman selama tiga hari lagi untuk membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Hussein, kes disiasat polis di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 48 Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita warga Indonesia terkejut apabila bayinya dilarikan oleh dua beranak di sebuah kedai barangan bayi di Jalan Ampang, di sini, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati wanita itu mahu menjual bayi lelakinya yang berusia 15 hari kepada dua beranak tersebut. – MalaysiaGazette