KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan bekas Ahli Dewan Negara, Tan Sri M Kayveas yang mahu memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan pelantikan Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP).
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas permohonan semakan kehakiman itu difailkan Kayveas dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) sebagai responden.
Perkara itu diputuskan melalui e-mel kepada semua pihak terlibat dan ia disahkan Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Hairuliqram Hairuddin.
Kayveas yang juga bekas Menteri memfailkan permohonan itu dengan mendakwa Maglin pelantikan sebagai Presiden MyPPP adalah tidak sah berikutan 13 individu yang hadir pada mesyuarat tersebut telah dilucut keahlian mereka, berkuat kuasa 25 April 2018.
Oleh itu, Kayveas memohon membatalkan keputusan melalui surat bertarikh 11 April lalu yang meluluskan rayuan pembatalan pendaftaran parti tersebut, parti itu dibatalkan pendaftarannya pada 14 Januari 2019.
MyPPP melantik Maglin sebagai Presiden baharu selepas beliau menang tanpa bertanding pada pemilihan parti pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).
Beberapa hari lepas, Maglin yang juga bekas Timbalan Menteri meninggal dunia akibat serangan jantung. – MalaysiaGazette