Lee Beng Tiek didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas empat pertuduhan menipu ejen Perkeso berhubung Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM150,000 dua tahun lalu.

BUTTERWORTH – Seorang pengurus syarikat didenda RM50,000 Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan memperdayakan ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhubung Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya 2.0) berjumlah RM150,000 dua tahun lalu.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Lee Beng Tiek, 53,  selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara dua sehingga empat bulan jika gagal melunaskan bayaran denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga keempat, tertuduh didakwa secara tidak jujur menipu ejen Perkeso bagi menuntut insentif bawah program itu.

Tertuduh yang ketika itu pengurus Menbridges Academy Sdn. Bhd.  didakwa memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan 52 nama dalam senarai pekerja Data Penjana Kerjaya 3.0 bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja sedangkan individu yang dinamakan itu bukan kakitangan syarikat berkenaan.

Beng Tiek membayar denda tersebut.

Perbuatan itu mendorong Perkeso menyerahkan RM150,000 ke dalam akaun bank milik syarikat tertuduh.

Beng Tiek dituduh melakukan kesalahan itu di Perkeso Pulau Pinang di Seberang Perai Tengah antara 5 sehingga 21 Mac 2021.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam, Aiman Abdul Rahman serta Haziq Razali.

Ketika prosiding, Noor Azura dan Afiqa Liyana memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira faktor kepentingan awam sekali gus memastikan kesalahan itu tidak berulang lagi.

Bagaimanapun, Aiman memohon mahkamah mengenakan denda minimum atas alasan anak guamnya mengaku bersalah sekali gus menjimatkan masa dan kos semua pihak selain memberikan kerjasama baik kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette