KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu skim pelaburan tidak wujud yang menawarkan keuntungan sehingga 51 kali ganda dalam tempoh tiga hingga enam jam menggunakan nama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis menjalankan siasatan rentetan daripada laporan media mengenai seorang wanita di Melaka yang menjadi mangsa dalam skim berkenaan sehingga mengalami kerugian kira-kira RM585,700 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan tersebut.
Siasatan polis mendapati sindiket penipuan tersebut mula beroperasi sejak bulan Oktober tahun lalu melalui media sosial antaranya Facebook, Whatsapp, Telegram dan Tiktok untuk mencari dan menjerat mangsa dalam skim tersebut.
“Siasatan kami mendapati sindiket ini menawarkan pelaburan saham, mata wang digital dan dana geran menggunakan nama MIDA.
“Lima pakej pelaburan ditawarkan oleh sindiket berkenaan melalui pakej serendah RM300 hingga RM2,000,” katanya dalam sidang media mingguan di Menara KPJ di Jalan Tun Razak hari ini.
Setakat ini polis menerima sebanyak 28 laporan dari seluruh negara membabitkan nilai kerugian berjumlah RM1.24 juta dan kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Untuk rekod, pada 9 November tahun lalu, pihak MIDA telah mengeluarkan amaran berkenaan penipuan pelaburan yang menggunakan nama agensi tersebut melalui laman Facebook rasmi mereka.
“Amaran yang sama turut dimuatnaik di laman sesawang https://www.mida.gov.my/ms/perihal-mida/scam-alert/,” katanya lagi.
Terdahulu pada 9 November lalu, seorang kerani bank dilaporkan telah terpedaya dengan keuntungan pelaburan sebanyak RM15,000 dijanjikan sindiket scammer yang menyamar sebagai pegawai perunding pelaburan MIDA dan berkerugian RM585,700.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi dipetik berkata, mangsa seorang wanita tempatan berusia 52 tahun sanggup menggunakan wang simpanannya dari Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta menggadaikan barang kemasnya untuk tujuan pelaburan itu.
Kejadian itu berlaku selepas mangsa dihubungi sindiket berkenaan melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Oktober lalu dan menawarkan pulangan keuntungan bernilai RM15,467 dalam tempoh tiga hingga enam jam dengan modal serendah RM300.
“Kerani bank itu kemudian bersetuju membuat transaksi RM300 ke dalam satu akaun milik seorang lelaki yang disediakan sindiket itu.
“Mangsa yang menyangka telah memulakan pelaburan di bawah MIDA kemudian melakukan sebanyak 64 transaksi pemindahan wang ke dalam 31 pemilik akaun berbeza melibatkan jumlah keseluruhan wang RM585,400,” ujarnya. – MalaysiaGazette