Seramai 28 bayi pramatang yang dipindahkan dari Gaza ke Mesir

GAZA CITY – Nasib kanak-kanak di wilayah yang diserang Israel semakin memburuk dengan 5,600 kanak-kanak terbunuh dan 3,500 masih hilang di bawah timbunan bangunan yang runtuh di sana.

Menurut Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin, sejumlah 28 bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan telah berjaya dipindahkan ke Mesir semalam.

Bayi terbabit dipindahkan dari Hospital al-Shifa dengan bantuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA).

“Langkah ini diambil berikutan keadaan kesihatan kanak-kanak yang lemah disebabkan oleh gangguan bekalan elektrik dan pengambilan air dan susu yang tercemar membawa kepada komplikasi kesihatan yang memerlukan rawatan segera di luar negara,” katanya dalam kenyataan.

Hospital al-Shifa iaitu pusat perubatan terbesar di Gaza kini sedang dikepung oleh tentera Zionis yang mendakwa ia dijadikan markas oleh Hamas.-Agensi – Agensi