Isteri Along Jinbara, Mimi Norfaiza Mohd Idris bercakap kepada MalaysiaGazette di Grand Sabak Hotel & Mini Convention Centre, Sabak Bernam, baru-baru ini. Foto: NIZAM ZAIN

SABAK BERNAM – Vokalis kumpulan Jinbara, Along kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan di bahagian otaknya bagi mengeluarkan cecair akibat serangan strok pada 8 September lalu.

Isterinya, Mimi Norfaiza Mohd Idris berkata, selepas pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira dua minggu lalu, kesihatan Along semakin positif malah kini mampu bergerak dan menyeimbangkan badan.

“Lepas jalani pembedahan, nampak ada kemajuan sangat bagus, tangan dia sudah boleh bergerak, dia dah boleh bercakap, sebab dia ada trakea, kena tutup baru boleh cakap, sebelum ini tak boleh cakap.

“Saya angkat dia dari kerusi roda masuk dan keluar kereta pun Alhamdulillah, dia sudah boleh seimbang dan boleh tegakkan badan, nampak makin pulih,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Grand Sabak Hotel & Mini Convention Centre, di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan Along atau nama sebenarnya, Syah Nizam Ahmad Samsi dikejarkan ke HKL kerana tidak sedarkan diri selepas mengadu berasa pening dan kemudian muntah pada 8 September lalu.

Menurut Mimi, sejak Along dimasukkan ke HKL dan kini hampir tiga bulan dalam proses pemulihan, suaminya kehilangan berat badan lebih 10 kilogram dan hanya bergantung kepada susu sahaja.

“Dia tak makan, jadi minum susu sahaja, dia memang bergantung kepada susu sejak 8 September lalu sampai hari ini, hampir tiga bulan dia memang minum susu sahaja.

“Berat dia memang banyak susut, kali terakhir 62 kilogram (kg), Mungkin berat dia sekarang mungkin 50kg sebab susut sangat, tapi kesihatan dia sangat banyak berbeza.

“Susu dia memang khas sejak dari wad, setiap empat jam sekali saya bagi susu tu. Dia minum susu guna tiub itu hampir tiga bulan.

“Doktor rehab pun ada beritahu untuk cuba bagi dia rasa lidah dia sebab lama tak guna lidah.

“Saya akan bagi dia asam bagi dia rasa masam, coklat bagi rasa manis, nak tengok lidah dia okay lagi ker tak deria rasa, perlahan-lahan saya ajar dia,” katanya.

Ketika ditanya tentang sumber pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas Along tidak bekerja hampir tiga bulan, Mimi berkata, walaupun dapat sumbangan daripada rakan-rakan terdekat namun dia tetap berusaha termasuk menjana pendapatan melalui Live TikTok.

“Sudah beberapa bulan Along tak kerja, sepanjang dia sakit itu, saya buat Live TikTok, Alhamdulillah membantu, sebab ada yang subscribe dia (TikTok Along), jadi kita pun dapat juga (income). Alhamdulillah.

“Ada awan-kawan terdekat macam abang Iqbal sangat banyak bantu kami dari awal. Isteri dia pula uruskan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari segi lampin pakai buang, susu dan sumbangan sedikit.

“Saya serahkan rezeki bulat-bulat dekat Allah saja, sebab saya tak bekerja, sebab saya jaga dia dan dia pun macam ini (sakit),” katanya.

Ditanya tentang hasrat Along untuk kembali beraksi di pentas dan bertemu dengan peminat, Mimi berkata, suaminya sentiasa bersemangat untuk kembali sihat seperti sedia kala.

“Insya-Allah, saya selalu cakap dekat dia, kuat semangat, belum buat video klip lagi kita nak kena kuat semangat.

“Dia kata Insya-Allah, saya ajar dia kuat macam mana, kuat (genggam tangan). Ramai peminat mendoakan dia, kalau saya Live dengan akaun dia (TikTok) memang sangat ramai (bagi semangat).

“Kita tak tahu Allah angkat doa siapa, Alhamdulillah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast