Peguam Aman Palestin Berhad, Muhammad Rafique Rashid Ali bercakap pada sidang media Aman Palestin mengenai penjelasan awam terhadap fitnah dan persepsi buruk kepada Aman Palestin di Ibu Pejabat Aman Palestin, Bangi. Foto NUR SYADILA AMARI, 21 NOVEMBER 2023.

BANGI – Aman Palestin akan mengambil tindakan undang undang sivil iaitu fitnah jenayah kepada pemfitnahnya selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pihak Aman Palestin telah mengenal pasti pihak yang melemparkan tohmahan berkenaan hingga memberi impak negatif kepada penubuhan tersebut.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Aman Palestin kerana telah memberikan kerjasama baik pada pihak penyiasat SPRM dengan memberikan semua butiran yang diperlukan.

“SPRM tidak boleh menafikan bahawa mereka sedang melakukan siasatan awal. Tindakan keterbukaan Aman Palestin dalam hal ini menunjukkan tiada yang perlu disorok.

“Kita serahkan kepada pihak penyiasatan untuk melakukan forensik dokumen perakaunan yang sepatutnya.

“Saya (peguam) mewakili mereka, dari segi perundangan telah memberikan nasihat yang seadanya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku-pelaku penyebar fitnah ini.,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Aman Palestin, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut (kiri) bersama peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali bercakap pada sidang media Aman Palestin mengenai penjelasan awam terhadap fitnah dan persepsi buruk kepada Aman Palestin di Ibu Pejabat Aman Palestin, Bangi. Foto NUR SYADILA AMARI, 21 NOVEMBER 2023.

Pada 7 November lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap Aman Palestin Bhd berhubung dakwaan ketidakaturan dalam aktiviti pengumpulan derma oleh pertubuhan tersebut untuk rakyat Palestin masih berterusan.

Azam berkata, pegawai forensikn SPRM sedang meneliti dokumen (kewangan) yang diperoleh daripada Aman Palestin dari 2020 hingga 2022.

Ditanya sama ada Aman Palestin akan membuat laporan polis kepada pemfitnah yang sudah dikenal pasti, Muhammad Rafique berkata, mereka sedang merangka strategi  sama ada ingin mengambil tindakan saman malu atau fitnah ke atas pelaku.

Bagaimanapun, pihaknya masih lagi menunggu keputusan siasatan berhubung dokumen membabitkan kewangan Aman Palestin dari SPRM.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut bercakap pada sidang media awam terhadap fitnah dan persepsi buruk kepada Aman Palestin di Ibu Pejabat Aman Palestin, Bangi. Foto NUR SYADILA AMARI, 21 NOVEMBER 2023.

Sementara itu, Ketua pegawai eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut turut memaklumkan pihaknya tidak mengalami kesukaran untuk menyampaikan sumbangan.

Namun fitnah yang dilemparkan itu telah memberi kesan kepada penyumbang Aman Palestin dan juga mangsa genosid rejim penjajah Israel di Palestin

“Bila datang fitnah-fitnah seperti ini, ia memberikan keraguan kepada penyumbang-penyumbang Aman Palestin. Jadi mereka bertanya banyak kali betul atau tidak.

“Dari segi sumbangan itu ada terjejas sedikit, banyak program-program yang bila kita nak buat, dia org nak pastikan dulu.

“Saya nak sebutkan bawa pemfitnah- pemfitnah akan terus berjalan, mereka akan terus memfitnah mungkin lepas difitnah akan lebih dahsyat lagi sebab kita tahu mereka tidak akan berhenti,” ujarnya. – MalaysiaGazette