Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Ustaz Awang Suffian Awang Piut (dua kiri) melancarkan kempen bantuan musim sejuk Aman Palestin di Ibu Pejabat Aman Palestin, Bangi. Foto NUR SYADILA AMARI, 21 NOVEMBER 2023.

BANGI – Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) melancarkan kempen Bantuan Musim Sejuk yang bermula awal bulan ini untuk disalurkan kepada penduduk di Palestin, Syria dan Yaman.

Pengurus Besar Pemasarannya, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, pihaknya menyasarkan kutipan agihan sebanyak RM20 juta dalam tempoh tiga bulan sehingga awal Februari 2024.

“Aman Palestin mengambil maklum dan memahami keadaan di Palestin khusnya di Gaza ketika ini yang berada di dalam kawasan perang dan musim sejuk yang sudah bermula di sana.

“Dengan keperluan mendesak bagi membaiki keadaan perang yang terlampau besar, Aman Palestin tekad mengumpulkan sumbangan sebanyak mungkin, bagi mengagihkan bantuan berbentuk kotak makanan, pemanas dan kerosin, peralatan musim sejuk dan bantuan klinikal.

“Pendekatan kami pastinya lebih mudah dengan usaha yang ampuh di antara Aman Palestin dengan rakan kerjasama di setiap negara dalam menguruskan bantuan dengan sistematik,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Aman Palestin, di sini hari ini.

Pengurus Pemasaran Aman Palestin, Ustaz Farhan bercakap pada sidang media awam terhadap fitnah dan persepsi buruk kepada Aman Palestin di Ibu Pejabat Aman Palestin, Bangi. Foto NUR SYADILA AMARI, 21 NOVEMBER 2023.

Aman Palestin juga bercadang menghantar Misi Bantuan Musim Sejuk ke Syria pada pertengahan Disember ini bersama beberapa rakan stategik untuk membangunkan amanah seluruh rakyat Malaysia ke bumi Syria.

Ujarnya lagi, kempen itu membuka ruang untuk masyarakat menzahirkan kebersamaan mereka bersama rakyat Palestin mahupun Syria dan Yaman dengan menghulurkan sumbangan.

“Dalam krisis perang yang sedang berlaku dan kehadiran musim sejuk yang mencengkam ini, Aman Palestin menyeru seluruh rakyat Malaysia, Indonesia dan serantau agar menjadikan sumbangan harta sebagai pengorbanan yang boleh kita laksanakan bagi memastikan rakyat Palestin terus teguh dan tidak keluar dari bumi Gaza.

“Pastinya sumbangan kita ini adalah satu usaha ke arah pembebasan Palestin seperti fatwa yang disampaikan oleh Setiausaha Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Dr Ali Al-Qaradaghi,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast