Pesara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuantan hari ini kerana subahat buat tuntutan palsu Penjana Kerjaya.

KUANTAN – Seorang pesara mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan utama dan tiga pertuduhan pilihan bersubahat membuat tuntutan palsu Penjana Kerjaya berjumlah RM9,537 sekitar Oktober hingga Disember 2021.

Tertuduh, Rozina Abu Bakar, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain di Mahkamah Sesyen 2, di sini hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, selaku Pengurus Teja Skills Solution, dia dituduh bersubahat dengan seorang individu memberikan tiga Borang Laporan Kursus Pengurusan Perniagaan melalui internet kepada seorang ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dokumen tersebut didakwa diserahkan bagi tujuan menuntut bayaran yuran di bawah Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya 2.0) yang bernilai RM3,179.26 setiap satu.

Tertuduh turut didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi butiran palsu tentang tiga individu berbeza sedangkan kesemua mereka tidak pernah hadir dan menduduki kursus itu di institusi tersebut.

Justeru, dia dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (c) akta sama.

Jika sabit kesalahan, ibu kepada lima anak itu boleh dihukum si bawah Seksyen 24(2) ASPRM 2009 (Akta 694) dimana dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda.

Selain itu, Rozina turut diberikan tiga pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 Oktober 2021 dan 1 Disember tahun sama di Bandar Putra.

Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan mahkamah agar wang jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan ke atas tertuduh berserta beberapa syarat tambahan.

Namun peguam yang mewakili tertuduh, Fadzly Mohd Ramli berkata, ia merupakan jumlah yang tidak masuk akal memandangkan anak guamnya bukan pelaku utama bagi kesalahan tersebut.

“Kalau kita lihat kepada tahap serius pertuduhan oleh pihak pendakwaan, saya percaya tuduhan semua itu tidak menggambarkan beliau sebagai pelaku utama sebaliknya sebagai subahat kepada pesalah utama.

“Selain itu, tertuduh adalah seorang pesara yang tiada pendapatan tetap selain menanggung lima orang anak termasuk seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Anak guam saya telah beri kerjasama yang sangat baik dan saya yakin lepas ini beliau tetap hadir ke mahkamah meski pun jaminan rendah diberikan,” ujarnya.

Tambah Fadzly, ahli keluarga anak guamnya juga terpaksa menggadai barangan kemas milik mereka bagi menyediakan duit jaminan dan memohon hakim membenarkan wang jaminan sebanyak RM5,000 sahaja.

Berikutan itu, Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan kepada tertuduh bersama seorang penjamin bercagar.

Tertuduh juga dikehendaki melapor diri ke Pejabat SPRM Pahang setiap bulan bermula Disember ini dan menyerahkan pasport antarabangsanya kepada Mahkamah sehingga kes selesai.

Hakim juga memutuskan 21 Disember ini sebagai tarikh pengurusan kes bagi serahan dikumen. – MalaysiaGazette