Bayi pramatang yang dibawa keluar dari Gaza ke Mesir.

KAHERAH – Seramai 28 bayi dilahirkan tidak cukup bulan yang dibawa keluar dari Gaza ke Mesir semalam ‘masih belum selamat’

Pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berpangkalan di Kaherah, Richard Brenna bagaimanapun secara berhati-hati berkata, beliau optimis bayi tersebut akan pulih.

“Kami optimis mereka (pasukan perubatan) akan melakukannya dengan baik tetapi kami perlu memerhati mereka dengan sangat sangat dekat.

“Mereka masih boleh mengalami komplikasi lanjut dan merosot secara akut. Mereka belum ‘keluar dari hutan’ dengan apa cara sekalipun, jadi mereka memerlukan penjagaan rapi itu untuk beberapa waktu akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada ABC NewsRadio di Australia hari ini sambil menambah sebilangan bayi telah menjadi yatim piatu berikutan ibu atau bapa atau kedua-duanya maut dalam serangan Israel.

“Kami pada asalnya diberitahu bahawa tiada seorang pun daripada mereka (ibu bapa mereka) dapat ditemui tetapi seperti yang kami dengar sejak 24 jam lalu, beberapa orang telah muncu.

“Jadi itu sangat melegakan untuk anak-anak kecil itu,” ujarnya.

Kesemua bayi tersebut dibawa keluar dari Hospital al-Shifa yang telah diserang selama beberapa minggu oleh tentera Israel sebelum dapat ditawan sepenuhnya.

Mereka terdedah kepada bahaya apabila inkubator tidak boleh digunakan selepas bekalan elektrik terputus berikutan kehabisan bahan bakar untuk menghidupkan janakuasa elektrik. – Agensi