Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Polis Selangor mengesahkan ancaman bom di sekolah-sekolah antarabangsa di negeri tersebut diterima pagi tadi adalah berita palsu yang disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab bagi mencetuskan kerisauan dan kegusaran awam.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan unit pemusnah bom polis Kontinjen Selangor telah diarah untuk menjalankan siasatan lanjut di lokasi sejurus menerima maklumat tersebut.

“Bagaimanapun, hasil siasatan yang dijalankan di tempat kejadian sehingga 1 tengah hari tadi, polis tidak menemui sebarang bom yang didakwa ditanam di sekolah-sekolah berkenaan,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Terdahulu, beliau mengesahkan pihaknya menerima tujuh maklumat laporan pertama berkaitan emel ancaman bom yang ditanam di beberapa sekolah.

Katanya, pengirim emel berkenaan menggunakan nama [email protected] telah menghantar ancaman bom ke beberapa sekolah di daerah Kajang, Petaling Jaya, Kuala Langat, Subang Jaya dan Shah Alam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak sekolah dan ibu bapa supaya tidak cepat panik sekiranya menerima emel yang menyatakan terdapat ancaman bom di sekolah.

“Sebaliknya laporkan kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut dijalankan segera kerana langkah itu penting bagi mengelakkan timbulnya kegusaran dalam kalangan masyarakat yang tidak mengetahui kesahihan maklumat yang tular itu.

“Buat masa ini, pihak polis masih meneruskan siasatan bersama agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan motif di sebalik e-mel palsu ini.

“Kita memberi jaminan keadaan di kawasan sekolah dan persekitarannya adalah selamat sementara keutamaan akan diberi dalam apa jua keadaan sekalipun bagi memastikan pelajar sentiasa berada dalam persekitaran yang selamat dan ibu bapanya tidak perlu risau tentang keselamatan anak anak mereka,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang berita palsu kerana ia boleh mendatangkan kerisauan, kebimbangan dan mengancam ketenteraman awam.

Berhubung ancaman ini, Hussein menegaskan, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyebaran berita palsu ancaman bom ini.

Mereka boleh disabitkan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan merangkumi kesalahan menakutkan secara jenayah membawa penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan rangkaian, tegas Hussein lagi. – MalaysiaGazette