RAWANG – Kerajaan Selangor dan Persekutuan digesa untuk segera menghentikan pembinaan loji pembakaran sampah (insinerator) di Batu Arang yang dijangka bermula Jun 2024 berhampiran kawasan penduduk.
Pembinaan itu dikhuatiri menjejaskan lebih 100,000 penduduk sekitar selain menjejaskan serta membantutkan pembangunan pesat yang sedang dilaksanakan di kawasan Rawang.
Menurut Ketua Bersekutu Bersatu Selayang, R. Rejean Kumar, bantahan demi bantahan oleh penduduk setempat telah dilakukan sejak awal cadangan pembinaan ini namun akhirnya kerajaan negeri telah sebulat suara mengumumkan projek berkenaan akan dilaksanakan.
Kata Rejean yang juga Ketua Pemuda Bersekutu Bersatu Selangor, sebagai salah seorang penduduk, dirinya juga terkesan dengan keputusan pembinaan yang dibuat pada Belanjawan Selangor baru-baru ini.
Jelasnya, beliau bukan mahu tampil jaguh membantah pembinaan insinerator sebaliknya lokasi projek itu berdekatan dengan populasi penduduk yang tinggi.
“Hampir ratusan ribu penduduk berada sekitar kawasan nak dibina insinerator ini. Ini bukan sesuatu yang kita boleh ambil mudah begitu sahaja, penggunaan insinerator sisa kepada tenaga dengan kaedah membakar sisa buangan hanya akan memberi kesan kepada penduduk dan alam sekitar.
“Dilaporkan cadangan pembakaran sisa sampah itu akan memudaratkan kesihatan penduduk dan alam sekitar melalui pelepasan toksik yang membawa kepada pencemaran bunyi, udara, tanah dan air setempat,” katanya.
Difahamkan cadangan projek insinerator itu akan menampung sisa pepejal dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang.
Kata Rejean lagi, pembinaan itu juga menyebabkan projek-projek pembangunan seperti pembinaan perumahan terbantut.
“Mana ada orang hendak beli rumah dengan tempat insinerator? Ingat juga ya, selain pencemaran Batu Arang terkenal sebagai tapak warisan dunia akan hilang daya tarikan akibat pencemaran bau selepas menjadi laluan keluar dan masuk lori sampah.
“Ini semua contoh yang biasa sahaja yang dapat saya berikan, sebelum ini ramai dalam kalangan penduduk setempat sudah tampil membantah projek ini. Apabila anda mahukan undi, anda ikut apa yang rakyat minta. Anda janji tapi lepas itu hanya tinggal janji sahaja. Fikirlah sedikit demi rakyat,” tegasnya. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Bina lah incinerator ni di Bukit Tagar yang telah diterima umum sebagai tempat pelupusan sampah. Jangan kerana nak kurangkan kos pengankutan yang menguntungkan pihak-pihak tertentu, keselamatan, kesihatan dan keharmonian rakyat diketepikan.