Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kecewa dengan segelintir pihak yang cuba menggunapakai namanya bagi tujuan mempromosi produk kesihatan tanpa kebenaran.

Dalam satu kenyataan di laman sosial aplikasi X, Dr Noor Hisham mendedahkan satu jenama jeli dan teh herba tradisional Cina pula didakwa menggunakan nama dan imejnya.

Namun tindakan itu mengelirukan orang ramai dan digunakan di luar konteks serta langsung tidak bertanggungjawab.

“Ini adalah satu lagi pemasaran yang tidak bertanggungjawab, menggunakan nama saya dan gambar oleh syarikat berkenaan bertujuan untuk menipu orang ramai. Sungguh perbuatan yang memalukan.

“Ini menyebabkan saya tiada pilihan selain membawa syarikat berkenaan ke mahkamah. Berapa banyak yang anda fikir saya patut menyaman mereka (untuk)? Semoga ini jadi pengajaran kepada syarikat lain?

“Sekurang-kurangnya jika saya menang, saya boleh berkongsi kemenangan dengan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya hari ini.

Beliau turut berkongsi gambar yang menggunakan imejnya pada produk terbabit.

Untuk makluman, sebelum ini, Dr Noor Hisham pernah mendedahkan ketika era pandemik Covid-19, pakar China mencadangkan untuk membuat rawatan tambahan untuk membuat akupuntur selain ubat ubatan herba bagi mencegah jangkitan serta mempercepatkan pemulihan selepas dijangkiti virus terbabit.

Kenyataan itu kemudian diguna pakai oleh pemilik produk herba Cina itu bagi tujuan mempromosi jualannya. – MalaysiaGazette