NEW YORK – Pemilik platform X Elon Musk mengumumkan akan menyumbang kesemua perolehan pendapatan daripada iklan dan langganan berkaitan perang di Gaza kepada Palestin dan Israel.
Musk dalam ciapan di X berkata, dana kepada penduduk Gaza akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin manakala sumbangan kepada Israel akan disalurkan terus kepada hospital di negara itu.
Ketika ditanya bagaimana untuk memastikan sumbangan itu tidak sampai kepada Hamas, Musk mempunyai kaedah yang tersendiri.
Musk yang juga pemilik Space X dan syarikat pengeluar kereta Tesla berkata, dalam apa juga keadaan kemanusiaan adalah diutamakan.
“Kami akan menjejaki cara dana dibelanjakan dan melalui Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin. Idea yang lebih baik dialu-alukan.
“Kita harus mengambil berat tentang orang yang tidak bersalah tanpa mengira bangsa, kepercayaan, agama atau apa sahaja,” tegas Musk.
Musk sebelum ini dituduh sebagai anti Yahudi selepas secara terbuka menyokong teori konspirasi yang popular dalam kalangan ketuanan kulit putih: bahawa komuniti Yahudi menyokong “kebencian terhadap orang kulit putih.” – Agensi