pilihan raya PBT
Mike Chong Yew Chuan

KUALA LUMPUR – Kredibiliti pihak berkuasa akan dipersoalkan sekiranya mereka tidak mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu pendatang asing menjalankan perniagaan secara haram.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, rakyat tempatan yang ingin menjalankan perniagaan perlu mendaftar, membayar cukai dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kerajaan dan pihak berkuasa perlu ‘bangun dari lena’ dan ambil tindakan sewajarnya terhadap pendatang asing yang menjalankan perniagaan secara haram ini.

“Kita tidak mahu kegiatan ini semakin melarat sehingga menimbulkan pelbagai masalah pada kemudian hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, lambakan pendatang asing yang menjalankan perniagaan secara haram di negara ini bukan satu isu baharu.

Mike memberitahu, tindakan mereka itu seolah-olah mencabar undang-undang negara dan kredibiliti pihak berkuasa.

“Dalam hal ini siapa yang harus dipersalahkan? Warga asing yang tak sedar diri? Rakyat Malaysia terlalu baik hati?

“Atau rakyat Malaysia terlalu ‘bijak’ mempergunakan warga asing ini untuk mendapatkan ‘untung atas angin’? Atau pihak berkuasa hanya mampu ‘tutup mata’ melihat kepincangan ini?” soalnya.

Beliau tidak menafikan masalah itu mungkin berpunca daripada sikap segelintir rakyat tempatan yang ingin mendapatkan keuntungan dengan mudah tanpa perlu bekerja keras.

Mike berkata, mereka mendaftar perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menggunakan nama warga tempatan, tetapi membiarkan warga asing menjalankan perniagaan.

“Mereka hanya menunggu duit ‘masuk’ ke akaun tiap-tiap bulan. Jika ini berlaku, adakah hanya perlu salahkan sebelah pihak sahaja?” katanya. – MalaysiaGazette