KUALA LUMPUR – Sejak awal pagi, orang ramai mula hadir di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sempena Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang berlangsung malam ini.
Gambar-gambar di media sosila menunjukkan peminat Coldplay sanggup beratur sambil bersila di bahagian pintu masuk kawasan dikenali sanding zone konsert yang akan bermula malam ini.
Malah cuaca yang agak mendung tidak menghalang mereka datang awal dan rela menjamu selera makanan bungkus sahaja.
Namun sekitar pukul 2.30 petang ini, hujan mula membasahi kawasan Bukit Jalil.
Dianjurkan Live Nation Malaysia, terdahulu, Coldplay mengadakan konsert di Perth, Australia selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 November lalu sebelum meneruskan siri jelajah ke negara ini.
Mereka tiba di sini awal pagi semalam.
Band fenomena dari United Kingdom itu bakal mengadakan konsert di sini buat julung kali menerusi Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur di SNBJ.
Tiket konsertnya habis dalam tempoh empat jam selepas penjualannya dibuka pada Mei lalu.
Memandangkan sambutan luar biasa diberikan peminat Malaysia, ramai yang meminta agar penganjur menambah satu lagi hari.
Bagaimanapun, penganjur kekal dengan keputusan mengadakan sehari sahaja dipercayai ekoran bantahan sesetengah pihak terhadap band berkenaan. – MalaysiaGazette