KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang mencadangkan agar Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang kini di bawah Jabatan Perdana Menteri diambil alih Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, ini kerana J-KOM sehingga kini gagal memainkan peranannya dengan berkesan kepada Kerajaan Perpaduan.
Malah kata beliau, lebih memburukkan keadaan, wujud skandal membabitkan kepemimpinan tertinggi J-KOM baru-baru ini.
“Kita lihat J-KOM dari segi peranannya ada kegagalan yang berlaku, antaranya dakwaan salah laku yang kita kenali sebagai skandal A&W (Agus dan Wahab),” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi KKD.
Mengulas lanjut, Wan Saiful turut mempersoalkan mengapa sehingga kini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyentuh langsung mengenai skandal dalaman membabitkan dua kakitangan J-KOM itu.
Tegas beliau, sedangkan J-KOM adalah satu daripada jabatan yang diletakkan di bawah JPM.
“Hingga kini Perdana Menteri yang lantik Ketua Pengarah tidak berikan sebarang komen. Kalau Perdana Menteri tidak boleh jalankan tugas ini, KKD wajar ambil alih J-KOM.
“Ini mungkin lebih menjimatkan dan membolehkan peranannya dijalankan secara efektif,” katanya.
Sebelum ini, bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mendakwa video perbualannya bersama individu bernama Wahab yang tular di media sosial sebenarnya sudah disunting.
Beliau berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan pihak tertentu yang sengaja mahu menjatuhkan reputasi beliau dengan menyebarkan video yang didakwanya sebagai palsu.
Lelaki bernama Wahab atau nama sebenarnya Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mengaku merakam video asal yang didakwa sudah diubah suai itu.
Dia mendakwa diarah pegawai atasan yang digelarnya sebagai ‘Mr. H’ untuk merakam perbualan bersama Ketua Pengarah J-KOM itu.
Kelmarin, Agus mendedahkan identiti ‘Mr. H’ selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang. – MalaysiaGazette