TEL AVIV – Sebanyak 287 tahanan Palestin yang akan dibebaskan oleh Israel sebagai pertukaran dengan 50 warga Israel yang menjadi tebusan Hamas adalah terdiri daripada kanak-kanak lelaki berusia bawah 18 tahun.
The Times of Israel melaporkan, kanak-kanak tersebut sebelum ini ditahan atas kesalahan melontar batu dan merusuh.
Kerajaan Israel akan menerbitkan nama dan butiran mereka bersama-sama nama dan butiran 13 tahanan wanita dewasa yang didakwa cuba melakukan jenayah menikam.
Penerbitan nama 300 tahanan Palestin itu untuk memberi peluang kepada rakyat Israel untuk merayu terhadap pembebasan mana-mana individu.
Di bawah perjanjian pertukaran tahanan dengan Hamas, kerajaan Israel akan membebaskan sehingga 150 tahanan Palestin sebagai pertukaran untuk sehingga 50 tebusan Israel dalam empat hari pertama.
Jumlah pembebasan akan ditambah mengikut nisbah yang sama daripada senarai 300 banduan jika tebusan selanjutnya dibebaskan.
Kabinet Israel hari ini bersetuju untuk melalukan gencatan senjata sementara selama empat hari bagi membolehkan lebih 200 warganya yang ditahan oleh Hamas sejak 4 Oktober lalu dibebaskan.
Kelulusan itu dicapai hasil rundingan antara kerajaan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat dengan Hamas.- Agensi