MANHATTAN – Bekas penasihat Barrack Obama, Stuart Seldowitz telah ditahan Jabatan Polis New York (NYDP) selepas tular video beliau melemparkan ucapan kebencian terhadap seorang penjaja berketurunan Arab.
Ahli Majlis Bandaraya New York, Julie Menin menyiarkan pada platform X bahawa Seldowitz telah ditangkap dan kini berada dalam tahanan NYPD.
Jurucakap NYPD mengesahkan kepada DailyMail.com bahawa Seldowitz telah ditahan, walaupun dia belum lagi didakwa melakukan jenayah.
Sementara itu ABC News melaporkan, penjaja makanan itu, Mohammed Hussein, 24, telah kembali bekerja pada Rabu selepas memfailkan aduan gangguan yang dilemparkan Seldowitz.
“Saya tidak tidur lena mendengar komen pedas seperti itu mengenai Nabi Muhammad dan bertanya kepada anak kecil itu jika dia merogol anak perempuannya dan sebagainya,” kata Islam Moustafa, pemilik bersama perniagaan halal itu.
Zak Ettamymy yang merupakan pengurus pembinaan yang bekerja di kawasan berhampiran, menyaksikan konfrontasi tersebut.
Ettamymy menyifatkan keadaan itu sebagai gangguan dan berkata, dia cuba bertindak untuk menghentikannya.
“Dia mempunyai banyak kebencian. Dia bercakap banyak perkara yang jahat dan saya berkata, ‘Dengar, ini bukan tempat atau masa untuk ini. Anda mungkin perlu menjauhkan diri daripada lelaki ini dan biarkan dia bekerja.'”
Seldowitz dalam satu temuramah dengan penerbit ABC News mengakui dia bertindak keterlaluan dan menyesali apa yang dia katakan, namun menafikan beliau membuat ugutan.
Bekas diplomat zaman pentadbiran Obama itu menerima kritikan selepas mengeluarkan kenyataan mengalakkan pembunuhan kanak-kanak Palestin di Gaza, menghina Nabi Muhamad SAW dan al-Quran.
Dalam video tersebut, Seldowitz yang bekerja di Direktorat Asia Selatan Majlis Keselamatan Negara di bawah Obama berkata, jumlah 4,000 kanak-kanak di Gaza yang mati diserang Israel tidak mencukupi.
Beliau turut berulang kali membuat kenyataan menghina Nabi Muhamad SAW yang didakwanya sebagai perogol.
Dia turut melemparkan kata-kata kesat dan menghina terhadap kitab suci umat Islam al-Quran.
“Anda cakap bahasa apa? Bahasa Arab? Bahasa al-Quran yang sesetengah orang guna sebagai kertas tandas?
“Apa pandangan anda orang yang menggunakan al-Quran sebagai kertas tandas? Tidak mengganggu anda? Beritahu saya secara jujur,” katanya sambil ketawa.
Seldowith juga merupakan bekas Timbalan Pengarah Kanan Politik di Pejabat Jabatan Negara AS bagi Israel dan Hal Ehwal Palestin dari 1999 hingga 2003.
Beliau berkhidmat sebagai pengerusi hal ehwal luar untuk kumpulan pelobi bagi polisi awam, Gotham Government Relation sejak November 2022.
Gotham dalam laman sesawangnya bagaimanapun mengumumkan Seldowith tidak lagi bertugas dalam badan tersebut.-Agensi