SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mengalami kekurangan pemimpin masa depan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selain Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, parti itu dilengkapi dengan pemimpin lain antaranya Datuk Radzi Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Naib Presiden.
“Yang pentingnya semua pemimpin bekerjasama dan taat setia yang kuat kepada Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sebagai Presiden.
“Apa Muhyididn sebutkan itu adalah amat bertepatan bukan sahaja nama-nama yang disebut tetapi ramai lagi pemimpin kita ada, Ronald Kinadee, Radzi Jidin dan pemimpin-pemimpin Armada Srikandi yang boleh satu hari nanti ambil alih tampuk pimpinan dalam Bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di IDCC, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Muhyiddin berkata, beliau boleh memonopoli jawatan tetapi memilih untuk ‘melihat ke depan dan masa sesuai untuk melatih orang baharu.
Presiden Bersatu itu merujuk kepada pemilihan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut sebagai ketua pembangkang.
Dalam pada itu, Radzi berkata, parti itu sentiasa membuka ruang kepada golongan muda untuk diangkat sebagai pelapis.
Ia selaras dengan kehendak pucuk pimpinan Bersatu terutama Muhyiddin yang sentiasa terbuka terhadap pemimpin untuk melangkah ke hadapan.
“Dalam konteks Bersatu, kita banyak beri ruang kepada anak-anak muda sebagai pelapis. Saya rasa Presiden amat terbuka menyediakan pelapis-pelapis kepimpinan parti bila-bila masa disusun dengan cukup baik.
“Saya rasa telah dijelaskan oleh Presiden. Apa yang jelas bersatu ini berada di sini untuk satu tempoh yang panjang. Maka saf kepimpinan di pelbagai peringkat perlu dipastikan mempunyai pelapis-pelapis untuk parti ini terus mengukuh,” katanya. – MalaysiaGazette