WASHINGTON – Agensi bakat Hollywood United Talent Agency (UTA) menggugurkan Susan Sarandon susulan kenyataan yang dibuat pelakon itu pada perhimpunan pro-Palestin di New York.
Selain itu Melissa Barrera juga dipecat daripada membintangi filem Scream VII, selepas berkongsi kenyataan pro-Palestin di media sosial, lapor Agensi Anadolu.
Seorang jurucakap UTA yang dipetik oleh beberapa media AS mengesahkan bahawa Sarandon digugurkan tetapi tidak mengulas lanjut.
Pemenang Oscar itu menghadiri beberapa perhimpunan pro-Palestin dan berdepan kritikan.
Pada perhimpunan yang diadakan di New York City pada 17 November lepas Sarandon berkata: “Terdapat ramai orang takut menjadi Yahudi pada masa ini dan merasai bagaimana rasanya menjadi seorang Muslim di negara ini.”
Beliau bersama beberapa lagi bintang Hollywood, termasuk Joaquin Phoenix dan Cate Blanchett menggesa Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden melaksanakan gencatan senjata bagi menamatkan konflik di Gaza.
Semasa perhimpunan itu, Sarandon juga berkata, kritikan terhadap Israel sepatutnya tidak dianggap sebagai “anti-Yahudi”
“Ada perkara yang sangat buruk berlaku di mana “anti-Yahudi” telah dikelirukan sebagai bersuara menentang Israel.
Barrera, 33, dipecat pada Selasa dari membintangi Scream VII oleh syarikat produksi, Spyglass, menurut laporan Variety.
“Saya juga berasal dari negara yang dijajah. Palestin akan bebas.
“Media Barat hanya menunjukkan sisi lain (Israel). Mengapa mereka berbuat demikian, saya akan biarkan anda membuat kesimpulan sendiri.
“Tapisan adalah sangat benar. Rakyat Palestin tahu ini, mereka tahu dunia cuba menjadikan mereka tidak kelihatan selama beberapa dekad. Teruskan berkongsi,” tulisnya di Instagram.
Spyglass mengeluarkan kenyataan mengenai penyingkiran Barrera dan menegaskan pendirian mereka jelas dan tiada sebarang keraguan.
“Kami tidak bertolak ansur terhadap hasutan kebencian dalam apa jua bentuk, termasuk rujukan palsu kepada pembunuhan beramai-ramai, pembersihan etnik, penyelewengan Holokus atau apa-apa yang secara terang-terangan melepasi batas kepada ucapan kebencian,” menurutnya dalam satu kenyataan yang dipetik oleh beberapa media AS. – Bernama-Anadolu