KUANTAN – Polis berdepan bahaya dan risiko ketika menjalankan operasi terutama ketika berdepan penjenayah.
Itu yang berlaku kepada seorang inspektor yang menerima 19 jahitan selepas bergelut suspek ketika menjalankan tugasan dalam Ops Tapis di Jerantut semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, Inspektor Awang Ridhuan Awang Jamalludin merupakan pegawai polis Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Jerantut.
”Pegawai kanan berkenaan menerima 14 jahitan di bahagian dahi dan lima jahitan di bahagian bawah hidung.
”Beliau telah mengalami kecederaan di muka dan pada bahagian tangan akibat pergelutan dan terjatuh semasa ingin menangkap suspek.
”Mangsa telah dibawa ke Hospital Jengka untuk mendapatkan rawatan awal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Yahaya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang mana boleh penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek berkenaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di talian 09-271 6222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Suspek dikenali sebagai Mohd Yunuf Mohd Kapli bernombor kad pengenalan 830911-06-5511.
Dalam pada itu, menurut Yahaya, sebanyak 228 serbuan dengan 493 pemeriksaan berjaya dilakukan pihaknya menerusi Ops Tapis sepanjang 20 hingga 22 November lalu.
Manakala seramai 424 orang telah ditangkap dengan membabitkan 370 kes dengan pelbagai kesalahan dadah.
Daripada jumlah itu, seramai 411 orang lelaki dan 13 orang wanita ditahan berumur lingkungan 19 hingga 60 tahun.
Ops Tapis dijalankan secara serentak di 11 buah daerah seluruh Pahang melibatkan 119 pegawai, 128 anggota dan 10 Polis Bantuan Felda.
Operasi tertumpu di kawasan sarang dadah, penempatan Felda dan ladang termasuk perumahan PPRT dan PPR dan kawasan panas lain. – MalaysiaGazette