ventilator
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,305 kes Covid-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-46 (ME 46/2023) iaitu dari 12 November hingga 18 November lalu berbanding berbanding 1,801 kes pada ME 45/2023 (5 hingga 11 November 2023), peningkatan sebanyak 28 peratus.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), bagaimananpun kadar kemasukan pesakit Covid-19, termasuk pesakit yang disyaki jangkitan ke fasiliti kesihatan menurun kepada dua orang bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 46/2023 berbanding ME 45/2023.

“Dalam tempoh ME 46/2023, pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 0.4 peratus, manakala peratus pengisian katil bukan kritikal Covid-19 pula adalah sebanyak 0.7 peratus.

“Sehingga kini, situasi Covid-19 masih terkawal di Malaysia. Pada ME 46/2023, sebanyak 21 varian Omicron baharu dilaporkan yang terdiri daripada 20 kes Variant of Concern (VOC) dan satu kes Variant of Interest (VOI).

“Terdapat sebanyak 785 kumulatif kes VOI (XBB.1.16, XBB.1.5, dan EG.5) dengan 783 kes tempatan dan dua kes import sehingga kini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Sarawak mencatatkan  143 kes pada tempoh tersebut diikuti Selangor (136), WP Kuala Lumpur (119), Melaka (117), Johor (59), Kedah (52), Pulau Pinang (37) dan Terengganu (24).

Sabah merekodkan 23 kes disusului Kelantan (21), Negeri Sembilan (16), Perlis (12), masing-masing sembilan kes di Perak dan WP Putrajaya serta lapan kes di Pahang.

KKM berkata, sehingga ME 45/2023, hasil aktiviti survelan Influenza-Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infections (SARI) bagi Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 61 sampel ILI dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif 7.0 peratus, manakala sebanyak 69 sampel SARI dengan kadar positif 3.0 peratus dalam tempoh masa yang sama.

Sementara itu, menurut KKM, berdasarkan data sehingga 31 Oktober 2023, hanya 16,348,414 penduduk Malaysia (50.1 peratus) menerima dos penggalak pertama dan hanya 828,148 penduduk Malaysia (2.5 peratus) menerima dos penggalak kedua.

Katanya, risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala boleh dikurangkan dengan pengambilan dos penggalak.

“KKM menjangkakan kemungkinan sedikit peningkatan kes COVID-19 akan berlaku susulan pergerakan dan perjumpaan sanak saudara dan sahabat handai ketika sambutan perayaan dan aktiviti-aktiviti perkumpulan.

“Sehubungan itu, KKM ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan pensanitasi, memakai pelitup muka serta mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek) sekiranya bergejala,” ujarnya. MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast