UMNO Akmal
Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari diingatkan sekali lagi bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman diadakan kerana terdapat unsur rasuah melibatkan pemimpin parti itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, atas sebab itu, mahkamah membatalkan kemenangan Pas di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau secara sinis menambah, Ahmad Fadhli mungkin terlupa punca sebenar terjadinya PRK tersebut.

“Ya unsur rasuah oleh geng kamu! Dana-dana yang ada tu jangan sampai kantoi ya.

“Takdalah bersih mana pun… jangan lupa fakta tu ya,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahmad Fadhli dalam hantaran Facebook semalam menasihatkan jentera UMNO di Kemaman agar berpijak atas realiti kerana parti itu dikatakan mustahil untuk menang.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mendakwa, Barisan Nasional (BN) meletakkan calon muka baharu supaya tidak malu sekiranya kalah besar.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid, pada PRU15.

Calon BN, Jeneral (B) Tan Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor akan bertembung dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – MalaysiaGazette