Pembuat wau, Azeimi Mohd Noor antara peniaga terlibat sempena Karnival Usahawan Desa 2023 di Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 23 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Karnival Usahawan Desa (KUD)@ Putrajaya 2023 bukan sahaja dapat menarik minat rakyat tempatan tetapi juga mampu menarik pelancong luar negara.

Salah seorang pengunjungnya, Aqilah Azizan, 26, berpendapat program yang menampilkan pelbagai aktiviti menarik dapat memperkenalkan kepada pelancong luar tentang produk tempatan seperti hasil kraf tangan.

Aqilah Azizan bercakap kepada media ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Karnival Usahawan Desa 2023 di Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 23 NOVEMBER 2023.

Dalam masa sama, ia akan menarik minat pelancong untuk datang ke negara ini, sekali gus membantu penjanaan pendapatan negara.

“Saya dapat tahu mengenai karnival ini daripada TikTok, saya dapat tahu di sini ada pameran dan jualan kraf tangan oleh sebab saya suka jadi saya datang ke sini dari Shah Alam.

“Bagi saya, karnival seperti ini patut diadakan supaya bukan hanya rakyat tempatan malah pelancong dapat tahu hasil tangan orang tempatan sebab kita tahu tidak mudah buat produk kraf tangan ini.

“Pameran kraf tangan dan jualannya boleh tarik minat orang datang tengok sendiri cara pembuatannya lagi-lagi pelancong luar negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Peminat setia karnival berkenaan, Hamdidi Haili, 56, pula berkata, program berkenaan sudah tentu akan menjadi peluang kepada para usahawan mempromosi produk masing-masing.

Hamdidi Haili bercakap kepada media ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Karnival Usahawan Desa 2023 di Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 23 NOVEMBER 2023.

Dalam masa yang sama, pengunjung yang datang boleh mengenali produk yang sukar ditemui dalam pasaran sekarang.

“Setiap kali adanya KUD di Putrajaya saya tidak akan ketinggalan untuk kunjungi sebab banyak sebenarnya usahawan kita keluarkan produk masing-masing yang lain daripada lain.

“Kalau boleh karnival ini diadakan setiap tahun dan ia akan mempromosikan produk tempatan yang kebanyakannya orang masih tidak tahu sebab di pasaran banyak produk asing jadi karnival ini akan bantu usahawan tempatan,” katanya.

Bukan hanya terdiri daripada pengunjung dewasa – KUD @ Putrajaya 2023 turut menarik minat pelajar sekolah.

Pelajar Tingkatan 6 seperti Kuhaneshwary Kumaramuthum pula menganggap karnival berkenaan sangat informatif khususnya buat mereka yang belajar berkaitan perniagaan iaitu jurusan Perakaunan.

Kuhaneshwary Kumaramuthu bercakap kepada media ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Karnival Usahawan Desa 2023 di Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 23 NOVEMBER 2023.

Pelajar berusia 19 tahun itu dapat mempelajari cara usahawan mempromosikan dan menjual produk masing-masing.

“Saya datang sebab di sini ada banyak agensi dan usahawan berniaga sesuai dengan apa yang saya belajar di sekolah iaitu Perakaunan.

“Karnival seperti ini kena diadakan lebih banyak sebab kalau ada diadakan secara kecil-kecilan. Program sebegini sangat informatif dan membantu IKS (Industri Kecil dan Sederhana),” katanya.

KUD@Putrajaya 2023 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan nilai transaksi jualan sehingga RM10 juta meliputi jualan tunai, padanan perniagaan dan tempahan selain dijangka menarik penyertaan sehingga satu juta pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya.

Kumpulan sasaran karnival yang diadakan selama lima hari sejak semalam hingga Ahad ini disertai oleh usahawan luar bandar yang mendapat bimbingan KKDW, agensi dan usahawan luar bandar berpotensi yang memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan perniagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast