KUALA LUMPUR – Sekolah-sekolah bagi Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT) akan terus beroperasi menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa penghantar untuk pengajian, pengajaran dan pembelajaran secara sah di sisi undang-undang dan dilindungi Perlembagaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular.
“Sebelum saya mula, saya ingin buat satu pengumuman. Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan pada pagi ini yang sebulat suara menolak rayuan difailkan oleh empat NGO yang memohon untuk mengisytiharkan bahasa Cina dan Tamil di sekolah vernakular tidak sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Sehubungan itu, SJKC dan SJKT akan terus beroperasi menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar untuk pengajian, pengajaran dan pembelajaran secara sah di sisi undang-undang dan dilindungi Perlembagaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian sebelum menjawab soalan keempat pada sesi pertanyaan jawab lisan yang dikemukakan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa).
Terdahulu, Mahkamah Rayaun hari ini memutuskan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular adalah sah.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Supang Lian bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan empat NGO selaku perayu.
Menurut hakim, penggunaan bahasa pengantar ini juga tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Antara perayu itu termasuklah Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Ghazali memutuskan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular adalah sah serta berperlembagaan.
i-Guru merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas pada 29 Mei 2022 yang menolak samannya manakala NGO pula mahu Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina dan Tamil, diisytihar tidak konsisten dengan Perlembagaan. -MalaysiaGazette