TEL AVIV – Pembantu utama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengumumkan pembebasan tebusan yang sepatutnya bermula Khamis ditangguhkan ke Jumaat.
Pengumuman dibuat oleh Pengerusi Majlis Keselamatan Negara Israel, Tzachi Hanegbi.
The Times of Israel melaporkan, penagguhan itu disebabkan dokumen perjanjian pembebasan tebusan masih belum ditandatangani oleh kedua-dua pihak dan diharapkan akan ditandatangani dalam tempoh 24 jam.
Sementara itu Al Jazeera melaporkan, tentera Zionis terus membedil Gaza walaupun Kabinet Israel telah bersetuju dengan perjanjian pembebasan tebusan dan gencatan senjata sementara selama empat hari.
Koresponden agensi itu, Hani Mahmoud yang melaporkan dari Khan Younis di selatan Gaza, berkata pengeboman bertubi-tubi Israel ke atas wilayah Palestin itu mungkin akan menjejaskan perjanjian.
“Jika anda melihat kawasan yang disifatkan oleh tentera Israel sebagai kawasan selamat, turut dibom, sama berbahaya, orang ramai juga berisiko kehilangan nyawa mereka,” kata Mahmoud.
Agensi itu turut melaporkan berpuluh-puluh orang daripada keluarga yang sama telah terbunuh di kem pelarian Jabalia selepas dibom bertubi-tubi oleh Israel.
Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki dalam lawatan ke London berkata, bahawa 52 ahli satu keluarga terbunuh di kem pelarian yang terletak di utara Gaza.-Agensi