Hasil perkahwinan, Mawar dan Raf dikurniakan tiga cahaya mata

KUALA LUMPUR – Pelakon, Mawar Rashid akhirnya menamatkan teka-teki pergolakan rumah tangganya apabila mengesahkan dia dan suami, Raf Yaakob bersetuju untuk bercerai atas dasar tiada lagi persefahaman.

Menerusi media sosialnya, Mawar, 28, berkata, fokus utama mereka sekarang adalah memberi seluruh sokongan dan kasih sayang kepada anak-anak mereka sementelah hubungan antara mereka kekal baik.

“Kami berdua bersetuju untuk berpisah atas dasar tiada persefahaman. Raf dan saya kekal berhubungan baik,

“Fokus kami sekarang adalah memberi sokongan dan kasih sayang yang diperlukan oleh anak-anak kami.

“Kejayaan hubungan kekeluargaan bermula dari ibu bapa dan itu yang kami akan usahakan bersama biarpun tidak lagi berdua,” tulisnya.

Bagaimanapun, Mawar tidak mendedahkan bila mereka memfailkan cerai.

Semalam, desas desus pergolakan rumah tangga mereka mula menjadi buah mulut warganet apabila pelakon tersebut memadam gambar suaminya di media sosial.

Dalam hantaran sama, pelakon Suamiku Paling Sweet itu turut memohon agar tiada spekulasi atau tohmahan negatif yang sengaja dicipta dan meminta peminat mendoakan yang baik-baik untuk mereka.

“Kami berdua sedih dan sesal untuk berkongsi berita duka ini kepada kamu semua. Tetapi, ini adalah yang terbaik untuk kelangsungan hidup kami berdua.

“Terima kasih kerana sentiasa menyokong kami berdua dan juga, untuk doa-doa yang baik. Itu amat bermakna untuk kami.

“Ini adalah kenyataan rasmi yang pertama dan terakhir dari kami. Harap semua pihak menghormati keputusan ini,” ujarnya.

Mawar atau nama sebenar, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid dan Raf mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan.

Raf atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob sebelum ini pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata menerusi perkahwinan terdahulu. – MalaysiaGazette