PEKAN – Seramai 313 penduduk di Merchong di sini hari ini menerima Lesen Pendudukan Sementara (LPS) seluas lima ekar bagi kegunaan pertanian khususnya padi.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bebar, Datuk Mohamad Fakharudin Ariff berkata, lesen tersebut diberikan pihak berkuasa negeri kepada penduduk layak untuk menduduki tanah kerajaan secara sah daripada segi perundangan.
Ia bagi mereka mengusahakan padi dan perlu diperbaharui setiap tahun sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 65 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
“LPS ini tidak boleh dipindahmilik atau diserahkan atau disewa atau diusahakan oleh orang lain. Jika didapati melanggar syarat ditetapkan maka LPS ini boleh dibatalkan serta merta oleh pihak Pentadbir Tanah Daerah Pekan seterusnya menyebabkan pendudukan secara sah akan terbatal.
“Kerajaan Pahang memahami dan berusaha sebaik mungkin memastikan rakyat dapat meningkatkan pendapatan.
“Pemberian LPS ini diharap digunakan untuk tanaman padi dengan jayanya. Moga usaha ini memberi manfaat kepada semua penerima,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri dengan kerjasama BERNAS telah bersetuju akan cadangan projek sawah Padi Berskala Besar (SBB) melibatkan Daerah Pekan dan Rompin di mana Jelapang Padi Merchong turut terlibat.
Fakharudin berkata, usaha itu selari dengan Dasar Sekuriti Makanan Negara bertujuan memastikan bekalan makanan keperluan rakyat lebih mudah didapati, berterusan dan terus stabil di pasaran.
“Bagi Skim Tanaman Padi Merchong ini, Projek Membina dan Menaiktaraf Infrastruktur Pengairan dan Saliran (Right Bank) dengan jumlah peruntukkan lebih RM55juta dan Projek Membina dan Menaiktaraf Infrastruktur Pengairan dan Saliran di Skim Merchong (Left Bank) untuk Fasa I, II dan III peruntukkan RM109 juta akan dilaksanakan.
“Kedua-dua projek ini akan ditender pada tahun 2024 dengan keseluruhan peruntukkan hampir RM165 juta,” jelasnya.
Untuk rekod Projek Membina, Menaiktaraf Infrastruktur Pengairan dan Saliran Tanaman Padi Merchong ini telah pun diluluskan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri Ke-6 pada 2017 lalu namun ianya tidak diteruskan selepas pertukaran kerajaan pada 2018. – MalaysiaGazette