Datuk Sivarraajh Chandran
Datuk Sivarraajh Chandran

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Sivarraajh Chandran mencabar Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya mencadangkan penyelesaian alternatif yang praktikal dan meyakinkan rakyat dalam menyelesaikan masalah ekonomi negara.

Sivarraajh menempelak kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu selepas mendakwa penyokong bukan Melayu akan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menyelesaikan masalah ekonomi.

“Setakat ini tidak ada belanjawan alternatif atau komitmen daripada pembangkang untuk menyelesaikan masalah-masalah asas rakyat Malaysia.

“Maka saya cabar beliau untuk mencadangkan penyelesaian alternatif yang pratikal bagi meyakinkan rakyat dan masyarakat bukan Melayu bahawa Perikatan Nasional (PN) mempunyai penyelesaian yang konkrit.

“(Bukan) sekadar menunggang populariti dengan mendendangkan isu agama dan kaum semata-mata, yang memecahbelahkan perpaduan negara hanya untuk laba politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, penyokong bukan Melayu akan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sekiranya Anwar gagal menyelesaikan masalah ekonomi negara.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, kegagalan kerajaan menangani isu rakyat akan menyebabkan pengundi bukan Melayu beralih kepada PN.

Dalam pada itu, Sivarraajh berkata, beliau tidak melihat sebarang cadangan, perancangan atau penyelesaian alternatif daripada pihak pembangkang.

Malah belia berasa ‘terpegun’ dengan kenyataan yang dibuat oleh Wan Ahmad Fayhsal.

“Saya yakin kerajaan sedang mengusahakan strategi-strategi untuk menstabilkan keadaan dengan sebaik mungkin.

“Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Wan Ahmad Fayhsal, jika beliau merasakan PMX (Anwar) dan Kerajaan Madani tak menyelesaikan masalah atas ketidakcekapan mentadbir, apakah perancangan PN untuk masyarakat bukan Melayu di negara ini?,” soalnya lagi.

Bagaimanapun, Sivarraajh tidak menolak bahawa kebanyakan masyarakat Malaysia, bimbang dengan keadaan peningkatan kos sara hidup dan harga barangan serta keadaan mata wang asing.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu berkata, rakyat negara ini didakwa sudah muak dengan kenyataan-kenyataan politik sebegitu.

Sivarraajh menambah, pembangkang lebih memainkan retorik agama dan kaum berbanding cadangan untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah-masalah yang melingkari rakyat.

“Lagipun Wan Ahmad Fayhsal kena arif bahawa masalah-masalah yang dihadapi oleh negara adalah disebabkan faktor geopolitik dan global yang mempengaruhi serantau Asia dan dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette