PUTRAJAYA – Gencatan senjata selama empat hari antara Israel dengan Hamas di Palestin adalah berita yang melegakan.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan rejim yang mahu meneruskan keganasan keganasannya tetap membimbangkan beliau.

“Ia melegakan sedikit tetapi kita  berdepan dengan rejim yang ganas yang membuat kenyataan mereka akan meneruskan kegiatan keganasan mereka dan itu sangat membimbangkan kita,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Furqan, Presint 11 di sini hari ini.

Selepas hampir tujuh minggu perang, Israel dan Hamas memulakan gencatan senjata selama empat hari bermula hari ini.

Gencatan senjata bermula pukul 7 pagi (1 tengah hari waktu Malaysia) melibatkan utara dan selatan Gaza dan akan diikuti dengan pembebasan beberapa daripada lebih 200 tebusan yang diambil oleh Hamas ketika serangan 7 Oktober lalu.

Dalam masa yang sama, gencatan senjata sementara itu juga akan membolehkan bantuan memasuki wilayah Gaza yang sebelum ini dikepung.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia sedia menghantar bantuan sukarelawan ke Palestin sekiranya mendapat persetujuan daripada negara-negara Arab.

“Cuma tertakluk kepada  persetujuan kita dengan negara Arab dengan negara Islam terutama jiran di sekotar Palestin,” jelasnya. -MalaysiaGazette