peruntukan ahli parlimen sistem pembayaran terbuka
Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Memang terdapat kerosakan pada jalan di beberapa kawasan di Klang  berpunca daripada kenderaan berat.

Perkara itu diakui Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, apa yang berlaku telah dibincangkan secara mendalam untuk diambil tindakan bersama Ahli Parlimen Klang, Ahli Parlimen Kapar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru serta ADUN Pelabuhan Klang semalam dalam satu sesi libat urus.

“Kementerian (Kementerian Kerja Raya) dan JKR (Jabatan Kerja Raya) tidak pernah memandang ringan isu-isu keselamatan infrastruktur jalan raya yang boleh mengancam nyawa manusia.

“Isu melibatkan nyawa tidak boleh sesekali dipandang ringan dan itulah yang kerap saya tegaskan kepada semua pasukan kementerian sejak saya diberi tanggungjawab mengemudi kementerian ini.

“Walaubagaimanapun, saya juga mengakui peruntukan kewangan terhad yang dihadapi oleh kementerian ini dalam menyelesaikan masalah kerosakan jalan raya.

“Namun seperti yang saya tekankan, dengan apa sahaja peruntukan yang ada, pihak kementerian akan cuba memberikan pengagihan yang adil kepada semua Jalan Persekutuan melebihi 20,000 kilometer di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Alexander Nanta menepis laporan sebuah laman portal yang menyiarkan laporan tidak tepat berhubung keadaan jalan di kawasan terbabit.

Katanya, laporan asal yang disiarkan oleh laman portal itu telah dipetik oleh pihak ketiga bertujuan memberi gambaran tidak tepat terhadap situasi sebenar yang telah dinyatakan.

“Ingin dijelaskan, ketika menjawab soalan media selepas meninjau keadaan Jalan Persekutuan di FT103 Jalan Pelabuhan Utara – Jambatan Kurau dan Laluan FT3217 Jalan Industri Meru Seksyen 9.3, saya telah ditanya oleh wartawan bilakah kerja baik pulih dari pihak JKR akan bermula?

“Saya telah memberi penerangan yang jelas bahawa kerja-kerja telah bermula baru-baru ini pada 19 dan 20 November 2023. Namun, keadaan jalan kembali rosak sehari selepas itu oleh kerana kenderaan berat yang memarkir di laluan itu.

“Saya tidak pernah menyebut tentang kerja turapan dibuat sebelum berlakunya kejadian.

“Saya juga telah menegaskan disebabkan KKR tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kepada kenderaan-kenderaan berat ini, maka kerjasama dari pihak penguatkuasaan adalah amat diperlukan,” ujarnya.

Alexander berkata, pihaknya telah berhubung dengan portal tersebut dan kekhilafan itu telah diperakui serta telah dikemaskini dari laporan asal yang telahpun disiarkan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak laman portal berkenaan atas tindakan pantas dalam menurunkan laporan tidak tepat bagi memastikan hanya maklumat yang sahih disampaikan kepada orang awam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast