KUALA LUMPUR – Nama Sirul Azhar yang dijatuhkan hukuman mati kerana disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribu pada 2006 masih berada dalam senarai notis merah Polis Penyiasatan Jenayah Antarabangsa (Interpol).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, nama Sirul masih kekal dan tidak dikeluarkan oleh polis.
“Nama Sirul masih berada dalam senarai notis merah Interpol dan kita masih mengkaji kaedah terbaik (membawa pulang Sirul) dan kini ia terletak di peringkat AGC (Jabatan Peguam Negara),” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Mohd Shuhaily bagaimanapun tidak mengulas lanjut dalam perkara tersebut.
Sebuah media antarabangsa hari ini memetik Sirul mahu membuat permohonan maaf daripada keluarga Altantuya dan bekas anggota Unit Tindak Khas itu juga merayu untuk meneruskan kehidupannya di Australia selepas dibebaskan dari depoh tahanan oleh Jabatan Imigresen negara tersebut baru-baru ini.
Dalam temubual eksklusif bersama Al-Jazeera, Sirul mendakwa adalah tidak selamat untuk dirinya jika kembali ke Malaysia. – MalaysiaGazette