Monday, December 16, 2024
Home Sukan SHAKAM: Nur Syaiful raih ganjaran RM110,000

SHAKAM: Nur Syaiful raih ganjaran RM110,000

Foto Facebook MSN.
KUALA LUMPUR – Atlet renang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menerima ganjaran tertinggi melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) susulan prestasi cemerlangnya di Sukan Para Asia 2022, Oktober lepas.
Dia yang meraih masing-masing satu pingat emas dan gangsa membawa pulang insentif berjumlah RM110,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Majlis Penyerahan Insentif SHAKAM, di sini, malam tadi.
Atlet olahraga, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi yang meraih pingat emas serta memecahkan rekod temasya acara 400m T20 dan atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin juga meraih emas acara 72 kilogram (kg) masing-masing menerima insentif kedua tertinggi berjumlah RM90,000.
Pemain skuasy wanita nombor satu negara, S.Sivasangari menjadi penerima terbanyak bagi temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 iaitu RM100,000 hasil kejayaannya meraih dua emas dalam acara individu dan berpasukan.
Pemain skuasy lelaki, Ng Eain Yow pula meraih insentif kedua terbanyak berjumlah RM85,000 atas kejayaan meraih pingat emas acara individu dan gangsa berpasukan, diikuti atlet karate Muhammad Ariff Arifuddin yang membawa pulang RM80,000 selepas mengungguli acara kumite 84 kilogram (kg) di Sukan Asia Hangzho 2022.
Sementara itu, Hannah mengumumkan setiap jurulatih yang membantu atlet meraih pingat turut menerima RM550,000 di bawah Skim Galakan Jurulatih (SGAR).
Sejumlah RM1,530,000 diperuntukkan kepada atlet negara yang berjaya memenangi pingat pada Sukan Asia dan peruntukan berjumlah RM1,473,600 untuk pemenang pingat pada Sukan Para Asia yang berlangsung di Hangzhou, China.
Malaysia menamatkan saingan Sukan Asia dengan kutipan enam emas, lapan perak dan 18 gangsa manakala kontinjen Sukan Para Asia mengumpul tujuh emas, 15 perak dan 17 gangsa.
SHAKAM yang diperkenalkan sejak 1986 diwujudkan bagi menghargai pencapaian atlet yang mengharumkan nama negara dalam beberapa temasya sukan seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan SEA dan Para ASEAN, selain kejohanan individu di peringkat dunia, Komanwel atau benua Asia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast