Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto MOHD ADZLAN, 24 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti politik matang, tidak akan teruskan amalan memunggah kekayaan demi kepentingan parti.

Sebaliknya, perdana menteri yang juga Presiden PKR itu berkata, PKR perlu mencari jalan yang lebih berakal dan baharu untuk bergerak.

“Koperasi adalah agenda ekonomi yang jelas, semua pemimpin PKR perlu menunjukkan komitmen mereka dan menyokong pergerakan itu,” katanya selepas menghadiri majlis makan malam Koperasi Keadilan di ibu negara, malam tadi.

Turut hadir adalah bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, parti yang dipimpinnya  perlu menggarap pengurusan, haluan dan idea reformasi dalam bidang ekonomi untuk rakyat.

Justeru, beliau berkata, penting untuk semua pimpinan parti tanpa berkecuali  memastikan agenda reformasi agensi seperti koperasi dapat dicetuskan.

“Saya akan pantau jika ada yang tidak memenuhi ataupun membantu menjayakan
(usaha reformasi melalui koperasi). Saya fikir penting untuk parti politik sedar bukan sekadar berkuasa untuk kepentingan peribadi.

“Saya rasa ini adalah inisiatif yang penting. Penting bagi kita sedar bahawa politik bukan hanya tentang individu atau kepentingan peribadi.

“Ia melibatkan usaha untuk berkhidmat kepada orang ramai dan agenda reformasi,” katanya lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette