Noor Fadhzly Jaasiman Jaafar dan keluarga menerima bantuan daripada LZS pada program Skuad Jejak Asnaf Kemiskinan Bersama Komuniti LZS di Bukit Lanchong hari ini.

SHAH ALAM – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Itu situasi dihadapi seorang pekerja pembaca meter syarikat Air Selangor selepas didiagnosis menghidap penyakit buah pinggang sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Noor Fadhzly Jaasiman Jaafar, 44, bersyukur apabila menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang prihatin terhadap nasib dilalui keluarganya itu.

Ketika ini, dia perlu menanggung empat orang anaknya yang masih bersekolah berumur dalam lingkungan lapan hingga 17 tahun manakala isterinya yang tidak bekerja dengan sumber pendapatan sebanyak RM2,000 sahaja.

“Alhamdulilah lega dengan bantuan dihulurkan, sebelum ini saya dimasukkan hospital selama tiga bulan akibat jangkitan kuman sekaligus menyebabkan kami sekeluarga terputus sumber pendapatan tambahan.

“Sekarang ini saya juga alami darah merah rendah, kesannya saya akan jadi cepat letih dan sukar untuk berdiri lama atau jalan lama. Isteri saya ada juga bantu keluarga buat kek secara kecil-kecilan, itulah pendapatan tambahan kami.

“Buat masa ini, saya masih bekerja lagi sebab perlu membayar hutang yang masih ada, kalau saya tidak bekerja siapa lagi nak tanggung anak semua, jadi saya perlu juga kuatkan diri demi keluarga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Noor Fadhzly Jaasiman Jaafar, ditemui semasa program Skuad Jejak Asnaf Kemiskinan Bersama Komuniti LZS di Bukit Lanchong hari ini.

Tambah Noor Fadhzly Jaasiman, semasa sihat dia pernah membuat kerja tambahan sebagai penghantar makanan namun selepas disahkan sakit buah pinggang, sumber pendapatan keluarga agak terjejas.

Selepas waktu bekerja, dia perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu ketika ini.

Terdahulu, dia ditemui di kediamannya semasa program Skuad Jejak Asnaf Kemiskinan Bersama Komuniti LZS di Bukit Lanchong, di sini hari ini.

Norhalizalizwana Wahab ditemui di kediamannya semasa program Skuad Jejak Asnaf Kemiskinan Bersama Komuniti LZS di Bukit Lanchong hari ini.

Bagi suri rumah, Norhalizalizwana Wahab, 39, turut menzahirkan rasa lega dengan bantuan yang dihulurkan LZS sekaligus dapat meringankan beban keluarganya.

Dia bersama dua anaknya yang masih bersekolah rendah, hanya bergantung harap pada sumber pendapatan suami yang bekerja sendiri sebagai mekanik.

“Abang (suami) bekerja sebagai mekanik dan kalau ada orang panggil untuk baiki kereta adalah gaji, banyak kereta dibaiki lebihlah pendapatannya. Jika tiada kereta rosak, memang kurang sikitlah lebih kurang RM1,500 sahaja tapi tiadalah sampai pinjam (duit) orang.

“Ada kalanya, kami terpaksa ikat perutlah dengan makan telur sahaja tapi untuk anak-anak, kami utamakan dulu. Kalau tertunggak bil air dan elektrik ada juga dekat dua atau tiga bulan tapi kami cuba cari kerja macam saya jual nasi atau kuih dan suami akan tanya kawan-kawan untuk membaiki kereta.

“Saya ucapkan terima kasih pada Zakat Selangor yang sudi beri bantuan dan prihatin dengan situasi kami empat beranak. Alhamdulilah sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu keperluan harian kami,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, pihaknya akan terus proaktif mengesan individu dan keluarga yang layak didaftarkan sebagai golongan asnaf di negeri itu menerusi program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK).

Katanya, operasi rutin yang bersifat cari, siasat dan bantu itu bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf.

“Program SJK ini diadakan dengan kerjasama Penolong Amil Kariah LZS sebagai usaha meningkatkan kebersamaan komuniti masyarakat untuk memahami kerja-kerja tugasan Amil sekaligus berkongsi idea dan maklumat.

“Kami juga kongsikan bagaimana proses agihan ini dilaksananakan, bancian itu dibuat serta proses pengenal pastian individu tersebut, kami buat pengiraan dan penilaian terhadap seseorang individu itu (penerima).

“Melalui proses ini kita akan memahami kemanakah agihan-agihan ini disalurkan dan bagaimana kaedahnya. Kami menyeru semua pengeluar zakat yang belum berzakat untuk mengeluarkan zakat,” ujarnya.

Sehingga Oktober lalu, lebih 10,000 keluarga di Selangor telah didaftarkan sebagai asnaf baharu dan daripada jumlah itu, lebih 3,000 keluarga dikenal pasti melalui SJK yang diadakan di setiap daerah di Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast