SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran supaya tidak berlaku sekatan dalam usaha menambah bilangan cawangan baharu parti.
Beliau berkata, jumlah keahlian dan cawangan perlu bertambah setiap tahun seiring usaha untuk memperkukuhkan parti.
Beliau mahu melihat ahli Bersatu berjaya ditambah kepada sejuta orang dalam tempoh setahun akan datang.
“Takkanlah tidak boleh tambah cawangan? Takkan nak sekat cawangan?
“Saya nak ulang saya nak lihat ahli capai sejuta dan cawangan sampai ke 12,000 saya tidak mahu lihat ada ketua bahagian hadkan cawangan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2023 di IDCC hari ini.
Terdahulu Muhyiddin berkata, sehingga kini sebanyak 7,000 cawangan Bersatu di seluruh negara.
Tambah Muhyiddin, ada keperluan untuk menambah jumlah ahli parti dalam usaha menguatkan jentera parti.
“Hasrat saya untuk melihat kekuatan yang kita telah bina akan kita teruskan dan perkukuhkan kita sedar parti kita ini baru, kita masih berhadapan pelbagai masalah di sebuah peringkat terutama di peringkat bahagian-bahagian di mana kita perlukan dokongan ahli kita yang lebih ramai. Kita telah mencipta keahlian lebih 600,000.
“Tapi bagi saya sebagai pengasas 600,000 daripada jumlah orang Melayu dan bukan Melayu untuk bersekutu masih belum mencukupi ada keperluan kita tingkatkan ahli kita,” jelasnya.
Sementara itu, Muhyiddin mengingatkan semua ahli parti supaya mematuhi peraturan dan mengelak sebarang masalah supaya tidak dilabel sebagai parti yang tidak mampu memperjuangkan Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya.
“Soal pokok parti kita adalah mesti kita perkukuhkan parti, perkuatkan tanggungjawab. Semua pemimpin di semua peringkat jangan ada isu masalah di peringkat bawah yang menyebabkan kedudukan parti kita dilihat lemah ada orang banding kita dengan Pas.
“Saya faham sesetengah ketua bahagian tidak setuju dengan arahan parti senyap-senyap tapi akhirnya setuju juga pasal kita bersumpah atas nama parti segala arahan akan kita ikut. Jadi saya harap dalam tempoh yang tidak terlalu lama kita akan dapat tambah kekuatan parti,” katanya lagi.
Perkara tersebut turut disuarakan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee dalam ucapan penggulungannya. – MalaysiaGazette