PKR Rafizi
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bersama Ketua AMK, Adam Adli Abd Halim dan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek bergambar bersama kepimpinan tertinggi selepas hadir ke Majlis Perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Wanita PKR dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) berdepan cabaran getir untuk menarik sokongan golongan muda jika mereka membawa idealisme mengenai pangkat, kedudukan, kerjaya dan jawatan.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, jika idealisme itu yang diketengahkan, tidak ramai yang akan menerima peluang tersebut atau mampu bertahan untuk mendapatkannya.

“Berapa kerat sangat yang boleh tahan dan boleh memikul cabaran-cabaran itu tanpa rasa kecewa kerana kita bukan zaman dulu-dulu.

“Zaman dulu ada jawatan kerajaan maknanya kaya raya, zaman sekarang kalau ada jawatan kerajaan kamu salah sedikit bukan sahaja pihak berkuasa akan tangkap, parti akan buang,” katanya.

Turut hadir, Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dan Ketua AMK, Adam Adli Abd Halim.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Wanita PKR dan AMK 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Sehubungan itu, Rafizi meminta semua pemimpin dan ahli Wanita PKR serta AMK untuk melihat kembali idealisme mereka dan sebab menyertai parti.

Beliau memberitahu, tidak mustahil mereka yang menyertai PKR setelah parti itu menjadi kerajaan akan beralih ke parti lain apabila kuasa pemerintahan bertukar tangan.

“Ia tidak cukup kuat untuk kita memegang perjuangan kita,” jelasnya.

Rafizi turut mengingatkan bahawa jawatan yang disandang oleh pemimpin-pemimpin parti adalah satu ‘beban’ dan ia akan diambil daripada mereka satu hari nanti.

“Percayalah saudara saudari bahawa kuasa itu datang dan pergi,” katanya. – MalaysiaGazette