M Saravanan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menyiasat isu larangan lagu tradisi Tamil dalam Karnival Bahasa Tamil baru-baru ini.

Kata Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah, beliau sememangnya terkejut dengan insiden itu yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah kerajaan yang mengutamakan kepentingan semua kaum dan agama di negara ini.

“Saya difahamkan nyanyian Salam Lagu Tamil (Tamil Valthu) dilarang di Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 23 November lepas. Tindakan ini telah mencacatkan karnival tersebut.

“Nyanyian salam lagu Tamil semata-mata mengambarkan keindahan gaya bahasa Tamil yang memiliki nilai estetik malah ianya sudah menjadi satu kebiasaan seperti sebelum-sebelum ini dinyanyikan pada setiap majlis dengan matlamat menerapkan unsur sastera Tamil.

“Sebenarnya dalam nyanyian ini sendiri kaya dengan unsur-unsur nilai-nilai murni selain daripada menyemai minat membaca sekaligus. Kita mohon sangat supaya pihak menteri dapat menyiasat pegawai KPM yang bertindak menghentikan nyanyian itu selain daripada memberi izin supaya Tamil Valthu diteruskan selepas ini,” katanya dalam kenyataan.

Bekas Menteri Sumber Manusia itu berkata, Perlembagaan Persekutuan juga telah memberi jaminan kepada setiap satu kaum untuk mengamalkan bahasa, budaya dan kepercayaan masing-masing.

Dalam pada itu, difahamkan seorang Pegawai Khas Menteri Pendidikan, Thiyagaraj Sankaranarayanan mendedahkan insiden itu berlaku disebabkan kekhilafan penganjur bukan dasar KPM.

“Tindakan sebegini tidak menampilkan nilai Malaysia Madani yang didukung oleh perdana menteri yang sering menggunakan rangkap ‘Thirukural’ bagi menjadikan sebagai pedoman pentadbiran serta pengurusan yang baik.

“Menteri Pendidikan melihat perkara ini sangat serius dan akan mengambil tindakan sewajarnya setelah menilai laporan insiden yang lengkap, kita harap ada ruang untuk kita siasat isu,” ujarnya. – MalaysiaGazette