SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kini lega selepas mendengar jaminan daripada ahli Parlimen dalam kalangan parti itu untuk setia dengan parti dan kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tanpa mengulas lanjut, beliau ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2023 Bersatu hari ini mendakwa sebelum ini mendengar ura-ura yang sebaliknya.
“Saya takut kalau ada ketua bahagian, ahli Parlimen yang tidak sokong, tidak ada gunanya juga. Tapi sekarang semua ahli Parlimen kita sudah okay. Hari tu macam-macam cerita. Legalah saya sekarang,” katanya yang dikenali sebaga Peja.
Menurut Ahmad Faizal, semua ahli Bersatu bertanggungjawab melaksanakan tugas masing-masing untuk memastikan parti semakin kukuh.
“Kalau betul menangis (dengan ucapan presiden) kita juga mesti ada peranan. Kalau kita sama kita bergaduh di bawah bergaduh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bergaduh dengan Ahli Parlimen dalam parti, Ketua Armada bergaduh, Ketua Bahagian Srikandi dengan ketua bahagian, kalau tuan jadi presiden pun nak letak jawatan,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, seramai empat ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan mahu mempertingkatkan pembangunan dan bantuan untuk kawasan ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.
Empat ahli Parlimen berkenaan adalah Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abd Rahman (Labuan).-MalaysiaGazette