Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 32 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di negeri Sarawak menerima Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) membabitkan 37,945 orang pekebun kecil dengan keluasan 213,607.51 hektar.

Bagi kawasan Asajaya, sebanyak dua SPOC telah mendapat Pensijilan MSPO melibatkan seramai 2,645 orang pekebun kecil persendirian dengan keluasan 14,537.29 hektar.

Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada pekebun kecil sawit persendirian, antaranya Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit
(IPPKS), Skim Insentif Integrasi Tanaman (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe).

Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata, sehingga September 2023, 69 buah pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah urusniaga Buah Tandan Segar (BTS) sebanyak 332,633.25 tan.

Purata jualan BTS bagi sebuah pusat timbang adalah 401 tan sebulan.

Katanya, KPSM Daerah Asajaya Berhad yang ditubuhkan pada tahun 2013 telah memulakan jualan BTS pada bulan Januari 2023 dengan bilangan keahlian seramai 118 orang, mencatatkan peningkatan jualan BTS yang mencecah 6,531.31 tan sehingga September 2023.

Di Sarawak, seramai 46,325 orang pekebun kecil mengusahakan kebun sawit menjadikan purata milik kawasan tanaman sawit bagi setiap pekebun kecil di Sarawak adalah seluas 5.5 hektar.

MPOB telah membuka 13 Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) di seluruh Sarawak iaitu di Bau, Sessang, Betong, Sarikei, Serian, Sri Aman, Mukah, Sibu, Miri, Limbang, Batu Niah, Bintulu dan Sibuti yang menyediakan khidmat nasihat penanaman
sawit dan pemindahan teknologi kepada pekebun kecil.

Kementerian melalui MPOB juga sedang mempergiat usaha untuk meningkatkan lagi penyertaan pekebun-pekebun kecil sawit bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan Pensijilan MSPO yang merupakan langkah strategik untuk meningkatkan imej industri
sawit negara di peringkat global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast