guru penerbangan
Bangunan Kementerian Pendidikan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Sehingga November 2023, sebanyak 689 daripada 996 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif telah siap sepenuhnya.

Manakala 120 projek dalam pembinaan dan baki 187 projek lagi berada dalam pelbagai peringkat prabina.

Kementerian Pendidikan berkata, ia telah mengambil langkah dan tindakan segera bagi memperkasakan pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara.

Peluasan skop projek kepada semua bangunan dan fasiliti serta penggunaan skor gred impak (skala 1 hingga 7) bagi menentukan senarai keutamaan pelaksanaan projek penggantian bangunan atau fasiliti yang berada pada Skala 7 dan Skala 6 merupakan
antara langkah awal utama yang telah diambil.

Pada tahun 2023, Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ketua Setiausaha Negara telah ditubuhkan untuk meningkatkan produktiviti sektor awam. Projek Pembinaan Sekolah Daif merupakan salah satu inisiatif STAR bagi menambah baik serta memantapkan proses pelaksanaan projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah, seterusnya memastikan penyampaian perkhidmatan pendidikan yang berkualiti.

KPM juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal untuk menyelaras isu pelaksanaan projek di pelbagai peringkat serta melaporkan status semasa projek dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia Madani.

Kementerian itu berkata, ia komited untuk terus memperkasakan pengurusan dan pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan sekolah daif demi manfaat seluruh masyarakat, terutamanya warga sekolah. – MalaysiaGazette