Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi melakukan Flag Off 60 peserta Program Konvoi Selangor Police Comumunity Ride yang di ketuai Ketua Polis Selangor Komisioner, Datuk Hussein Omar Khan yang akan menuju ke Masjid India Muslim Klang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 26 NOVEMBER 2023.

SHAH ALAM – Seramai 60 pegawai kanan dan anggota Kontinjen Polis Selangor memulakan konvoi motosikal dalam program Selangor Police Community Ride 2023.

Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam telah melepaskan konvoi motosikal berkuasa tinggi itu di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di Shah Alam sekitar jam 10.30 pagi tadi.

Konvoi berkenaan diketuai oleh Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan dengan disertai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Datuk Baharudin Mat Taib dan ketua-ketua polis daerah Selangor antaranya Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid serta para pegawai dan anggota kontinjen negeri.

Para peserta konvoi akan mengharungi perjalanan sejauh 72 kilometer menyusuri jalan pedalaman desa dan kampung sebelum tiba di destinasi pengakhiran program berkenaan di IPD Sepang pada petang ini.

Hussein Omar Khan bergambar bersama 60 peserta Program Konvoi Selangor Police Comumunity Ride yang akan menuju ke Masjid India Muslim Klang dan seterusnya ke IPD Sepang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 26 NOVEMBER 2023.

Hussein berkata,  konvoi motosikal secara bersantai itu untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim polis dengan komuniti sejajar dengan tema Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.

“Seramai 14 anggota trafik terlibat membantu konvoi dan mengawal lalu lintas bagi melancarkan perjalanan tanpa sebarang masalah dan saya harap semua pegawai dan anggota konvoi ini menunggang secara bersantai untuk selamat tiba ke destinasi kita nanti,” katanya sebelum flag off disempurnakan.

Buat permulaan konvoi ,polis akan menyertai program cakna komuniti di Masjid India Muslim Jalan Tengku Kelana, Klang.

Di sana beliau akan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada 10 asnaf dan fakir miskin sebelum solat Zohor berjemaah.

Kemudian konvoi berkenaan akan meneruskan perjalanan ke IPD Sepang menggunakan jalan lama menerusi Telok Panglima Garang dan Sungai Manggis yang dijangkakan tiba sekitar jam 2.45 petang nanti.-MalaysiaGazette