Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook

SHAH ALAM – Rakyat digesa untuk tidak sesekali termakan dengan penipuan dan pemesongan yang dilakukan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kuasa dimiliki DAP di negara ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan  dakwaan kononnya DAP mampu menguasai setiap keputusan dibuat oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Anthony berkata, wakil rakyat DAP yang berjumlah 40 orang tidak mampu memberikan keputusan sebulat suara atau dua pertiga undi dalam melaksanakan sesuatu keputusan.

“Wakil rakyat kita 40 orang, kami bertanding tidak sampai 50 buah kerusi dan menang 40 kerusi di Parlimen. Wakil Kabinet pula hanya empat orang. Jadi bagaimana pula kata DAP kuasai Kerajaan Perpaduan atau pinda Perlembagaan? Kita perlu 148 undi untuk pinda Perlembagaan.

“Ini adalah kenyataan bohong, propaganda oleh Tan Sri Muhyiddin untuk menakutkan khasnya orang Melayu. DAP adalah parti komponen kerajaan, apa jua keputusan ianya akan diambil bersama bukan keputusan DAP. DAP juga parti yang mengamalkan kesederhanaan selama ini, semua keputusan dibuat bersama.

“Islam adalah agama rasmi dan kebebasan beragama kaum lain perlu dilindungi dan ianya memang termaktub dalam Perlembagaan kita selama ini. DAP tidak pernah sesekali menyoal atau mencabar perkara ini. Kita junjung ini sehingga bila-bila. Apa yang PN dan Muhyiddin buat adalah menipu,” katanya.

Anthony berkata demikian kepada media selepas merasmikan Konvensyen DAP Selangor 2023 di SACC di sini sebentar tadi.

Sambung Anthony lagi, dakwaan kononnya DAP cuba berkuasa lebih besar sekali gus menghakis kepercayaan orang Melayu itu adalah penipuan tidak bertanggungjawab.

“Muhyiddin dakwa kononnya jika DAP semakin kuat terhakislah kuasa politik orang Melayu. DAP boleh buat persempadanan semula dan sebagainya. Semua ini hujah bukan sahaja tidak bertanggungjawab sebaliknya membuat penipuan.

“Ini hujah menipu, Muhyiddin menipu. Tidak munasabah dan tidak adil untuk Muhyiddin buat dakwaan dan hujah DAP cuba kuasai kerajaan, buat pindaan itu dan ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast